Mentadbir negara bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi apabila penduduknya terdiri dari rakyat yang berbilang kaum dan agama. Tambahan pula, terdapat rakyat yang hanya bergantung kepada bantuan kerajaan bagi memenuhi kehendak dan keperluan mereka. Ada juga yang hanya menjadi pengkritik dan penonton, sedang yang lain sibuk berlakon di atas pentas.
Kedengaran biasa di telinga anda?
Tapi apa yang boleh kita lakukan sebagai rakyat yang prihatin bagi membantu kerajaan menyelesaikan masalah pentadbiran negara? Apa lagi jika kita adalah kakitangan kerajaan yang tertakluk kepada frasa “Saya yang menurut perintah” dan kuasa akta-akta keselamatan yang bertujuan untuk melindungi kerajaan dari sebarang bentuk cemuhan dan kritikan terbuka?
Petang kelmarin, saya terfikir sesuatu yang tak terfikir dek saya sebelum ini. Di sini, di dalam blog ini, saya boleh bersuara. Di sini saya dapat menulis bebas akan apa yang saya fikirkan sebelum ini mengenai kerajaan. Di sini saya hanyalah seorang rakyat biasa yang menggunakan kemajuan teknologi terkini untuk menyampaikan idea dan cadangan.
Saya juga dapat membincangkan perkara-perkara yang selama ini hanya dibualkan di kantin sewaktu sarapan pagi. Ada juga topik-topik lain yang diperkatakan di dalam chat room dan Yahoo! Messenger yang mungkin tiada jalan penyelesaian sekiranya terus diperbincangkan di sana, boleh diketengahkan di sini, di dalam blog ini, bagi mendapatkan lebih banyak pendapat dan maklumbalas umum.
Tetapi ini pasti akan menimbulkan rasa kurang senang hati sesetengah individu baik secara langsung atau tidak langsung, secara sedar atau tidak, kerana saya bakal berbicara mengikut landas pemikiran saya sebagai seorang yang kritis. Justeru, saya akan memegang watak sebagai seorang pengkritik. Bukan penonton, bukan juga pelakon.
Jadi apa yang sang pengkritik akan perkatakan bermula hari ini?
Baru-baru ini mungkin anda semua mendengar kritikan pedas
Tun Dr. Mahathir selaku bekas Perdana Menteri terhadap pentadbiran kerajaan kini. Nah, ramai yang melenting kerana berpendapat adalah tidak wajar bagi beliau mengkhianati
Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan teguran sebegitu. Namun tidak pula melatah mantan Perdana Menteri kita dan Timbalannya terhadap teguran itu. Tidak juga tergesa-gesa kedua-duanya pulang dari luar negara bagi menghadapi dan menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh Tun.

Tetapi Tun Dr. Mahathir bukanlah seorang pengkhianat. Beliau juga bukan seorang penentang kepada UMNO. Cuma Tun Dr. Mahathir berfikiran rasional sebagai seorang lelaki yang telah menggagaskan
Wawasan 2020 dan menginginkan wawasan itu dicapai menjelang tahun 2020 nanti. Beliau hanya ingin melihat kemajuan demi kemajuan dicapai oleh negara Malaysia bersesuaian dengan jangkamasa yang semakin singkat sebelum 2020 menjelma. Bayangkan dalam masa kurang 14 tahun, apa yang boleh negara kita lakukan bagi mencapai kemajuan tersebut?
Oopppsss… terlupa saya. Bagaimana rupanya tahun 2020 yang diinginkan oleh Tun Dr. Mahathir? Apa agaknya yang patut dimiliki dan dicapai oleh negara Malaysia seandainya tiba tahun 2020 itu nanti, untuk dikatakan bahawa Malaysia telahpun ‘berjaya’ mencapai wawasan yang dicanang sejak lebih 16 tahun yang lalu?
Adakah cukup dengan hanya adanya Koridor Raya Multimedia di Cyberjaya? Adakah sesuai dan relevan Menara Berkembar Petronas pada tahun 2020 kelak untuk dibanggakan sebagai satu mercu tanda pencapaian rakyat negara kita, untuk menunjukkan bahawa kita telah maju kerana berjaya membina sebuah bangunan yang futuristik? Adakah dengan hanya pembaikpulihan struktur sediada, ditambah dengan beberapa projek pembangunan sehingga lima tahun akan datang, cukup sebagai persediaan negara bagi menghadapi tahun 2020?
Tun Dr. Mahathir hanya meletakkan batu asasnya sahaja sepanjang lebih 20 tahun pentadbiran beliau ke atas negara Malaysia. Koridor Raya hanyalah asas. Menara Berkembar Petronas juga asas. Struktur pembangunan sediada juga merupakan asas. Jadi ke manakah perginya tiang, dinding, tingkap, serta bumbung negara ini?
Jawapannya terletak pada 14 tahun ini. 14 tahun jangkamasa sebelum negara kita menempuh tahun keramat, 2020. Bayangkan semenjak negara kita merdeka pada tahun 1957 sehingga kini (48 tahun kemerdekaan), ini adalah pencapaian negara kita. Setakat ini sahaja yang mampu kita capai semenjak 48 tahun yang lalu.
Mungkin anda akan kata, dalam 48 tahun ini negara kita tidak mempunyai teknologi dan kemahiran yang diperlukan untuk maju. 48 tahun ini kita tiada kemudahan infrastruktur yang boleh membantu kita mencapai kemajuan. Kerana itulah pencapaian kita sehingga kini hanya setakat itu sahaja.
Tetapi anda harus memikirkan beberapa faktor ini juga. Dalam 48 tahun ini negara kita didokongi oleh mereka-mereka yang telah memerdekakan Malaysia. 48 tahun ini juga dipenuhi dengan orang-orang yang bersemangat tinggi untuk membebaskan Malaysia dari belenggu penjajahan. Dalam 48 tahun juga Malaysia berjaya berdikari mentadbir negara sendiri, tidak seperti anggapan British yang suatu masa dulu begitu sinis terhadap cita-cita pemimpin kita?
Adakah mereka juga yang akan berada di dalam Malaysia untuk membawa negara mencapai Wawasan 2020? Adakah mereka yang akan bertungkus-lumus dalam 14 tahun akan datang bagi mempastikan negara kita mencapai wawasan yang ditetapkan? Apa pula peranan kita sebagai generasi yang entah ke berapa kali ini dalam usaha mencapai wawasan tersebut?
Tidak mungkin generasi yang memerdekakan saya dan anda akan berkesempatan menikmati Wawasan 2020. Mustahil juga mereka itu dapat menggagahi badan menongkah usia bagi membimbing generasi kini ke arah kemajuan. Mustahil juga apabila anda katakan bahawa kitalah yang akan mendokong cita-cita untuk mencapai kemajuan menjelang tahun 2020 itu kelak. Kerana apa?
Kerana minda generasi kita yang semakin kucar-kacir dan bercelaru dek arus kemodenan yang tidak menyeluruh. Ditokok pula dengan budaya Barat yang menyaluti minda anak-anak muda kita di bandar dan kota raya. Apa lagi dengan sikap acuh tak acuh sesetengah kelompok masyarakat yang tidak memahami dan tidak mahu memahami keperluan Wawasan 2020.
Benar. 48 tahun lalu negara kita dipenuhi dengan individu yang bersemangat pejuang. Dan semangat pejuang itulah yang berjaya membawa Malaysia ke tahap kita hari ini. Dengan semangat pejuang itu juga, mereka menentang penjajah dan menghapuskan komunis dari tanah air Malaya. Itu merupakan tugas mereka sejak 48 tahun yang lalu. Tambahan pula negara kita baru memperolehi kemajuan bagi memulakan pembangunan sejak 48 tahun lalu. Kerana itu saya katakan, apa yang telah dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir sebenarnya hanyalah asas sejak lebih 20 tahun pentadbiran beliau.
Kerana itu juga saya katakan 14 tahun adalah suatu tempoh yang amat singkat. Sukar untuk kita mencapai Wawasan 2020 jika dilihat akan halangan yang kita sedang dan bakal hadapi. Bukan penjajah, bukan komunis, tetapi sikap rakyat Malaysia yang semakin terhakis nilai-nilai murninya. Sikap yang menyukarkan pembangunan kerana wang berbilion dihabiskan untuk perkara-perkara remeh tapi serius.
Apa tidaknya? Kerajaan terpaksa menghabiskan berjuta-juta ringgit semata-mata untuk membudayakan budi bahasa di kalangan rakyat. Berbilion ringgit pula dicurahkan untuk pembinaan bangunan yang bukannya bertaraf ‘super’ seperti KLCC atau MSC, tetapi dihabiskan oleh individu-individu yang sudah sememangnya kaya melalui tender dan kontrak – dan masih tidak siap! Ada pula negeri-negeri yang terpaksa menghabiskan jutaan ringgit bagi menangani masalah sungai dan hutan, sedangkan duit itu boleh disalurkan kepada pembangunan negeri masing-masing.
Ada pula rakyat yang membebankan kerajaan dengan memohon bantuan Bumiputera, bantuan subsidi, bantuan pinjaman, bantuan infrastruktur, bantuan itu, bantuan ini… Hinggakan hendak membina jambatan untuk kegunaan kampung sendiri pun perlu masuk TV3 terlebih dahulu, supaya dapat mereka salahkan kerajaan kerana tidak menghulurkan bantuan. (Sedangkan dahulu sebelum merdeka, orang kampung boleh membina jambatan melalui permuafakatan dan gotong-royong, tanpa perlu kerajaan British datang menjengah).
Tongkat yang dahulunya ingin dibuang… Maka betullah masih ada semangat juang rakyat Malaysia kerana ‘patah sayap bertongkat paruh’. Hilang bantuan ini boleh minta bantuan itu. Hilang keistimewaan ini, digunakan keistimewaan lain pula. Nah, bila masanya kerajaan yang mentadbir negara Malaysia ini boleh menggunakan sumber kekayaan yang ada untuk mencapai Wawasan 2020 itu?
Kerana itulah Tun Dr. Mahathir tampil bersuara setelah lama memerhatikan pentadbiran kerajaan bertungkus-lumus mengawal kewangan sediada. Tun Dr. Mahathir sedar bahawa kerajaan tidak akan berjaya mencapai Wawasan 2020 yang dicetuskan beliau sekiranya hal ini berterusan, sikap rakyat sebegini berpanjangan, dan permasalahan remeh yang serius ini berlanjutan.
Yang ingin ditekankan oleh beliau ialah, jangan biarkan kepesatan pembangunan dan pencapaian kemajuan bergerak perlahan kerana tempoh 14 tahun adalah tempoh yang tidak lama. Jangan biarkan Wawasan 2020 dijadikan bahan ketawa negara luar kerana negara kita diperhatikan oleh seluruh masyarakat dunia kini. Jangan juga pada tahun 2020 itu nanti, masih ada yang ketinggalan dari arus kemodenan dan kemajuan negara, serta tinggal di dalam rumah usang dan seisi rumahnya tidak mengenali apa itu internet dan teknologi maklumat.
Kegusaran bekas pemimpin kita itu ada asasnya. Sikap dan mentaliti rakyat kita masih lagi di tahap negara ketiga. Membuang sampah merata-rata, bergantung harap kepada subsidi dan bantuan, hanya pandai menuding jari, tidak kurang juga yang membaling batu sorok tangan. Kegusaran Tun adalah kerana maruah dan martabat negara kini di tangan rakyat Malaysia.
Cuba semak kembali
Rancangan Malaysia Ke-9 yang dibentangkan tiga bulan lalu. Apa bentuk pembangunan yang dirancang, yang menunjukkan ia akan menjadi lambang kemajuan Wawasan 2020? Ke mana pergi sumber kewangan negara yang bernilai berbilion ringgit disalurkan semata-mata untuk menambahbaik dan melancarkan sistem pengurusan kerajaan? Berapa pula kos yang diunjurkan oleh kerajaan bagi membantu rakyat termiskin keluar dari belenggu keperitan hidup supaya tercapai sasaran sifar kemiskinan? Berapa pula jumlah kewangan terpaksa dihabiskan bagi memulihara sungai-sungai dan hutan belantara di negara ini?
Jadi bagaimana kerajaan hendak melabur terhadap kemajuan menuju Wawasan 2020 sedangkan kerajaan terpaksa berhadapan dengan masalah-masalah remeh yang sebenarnya menjadi asas kepada keteguhan peribadi rakyat Malaysia. Mana tidaknya, bayangkan jikalaupun Wawasan 2020 dapat dicapai dengan sumber kewangan negara dihabiskan semata-mata untuknya, negara bakal dipenuhi dengan rakyat ‘sampah-sarap’ yang telah terhapus nilai-nilai murni. Sumber semulajadi juga tergugat kerana wang negara telah dihabiskan untuk pembangunan. Tidakkah dilema ini cukup menimbulkan kekusutan di dalam kepala Dato’ Seri Abdullah?
Saya percaya Perdana Menteri kita sedia arif bahawa 14 tahun bukanlah jangkamasa yang cukup bagi mempersiapkan diri menghadapi wawasan negara. Namun beliau perlu mempastikan rakyat terjaga dan nasib mereka terbela. Beliau perlu mengenepikan kemajuan buat sementara waktu, bagi memperkukuhkan mentaliti rakyat Malaysia supaya diangkat ke tahap dunia kedua.
Jadi, adakah 14 tahun akan datang kita boleh melihat kereta terbang seperti yang terpapar dalam pertandingan lukisan kanak-kanak 15 tahun lalu ketika Wawasan 2020 mula dilancarkan? Adakah lagi bangunan yang lebih futuristik dari Menara Petronas akan berdiri di tanah Malaysia 14 tahun nanti? Adakah akan tercapai Wawasan 2020 dengan mentaliti, sikap, dan kemajuan yang kita pegang pada hari ini?
Segalanya terletak di tangan rakyat Malaysia. Maruah, darjat, martabat – segalanya. Kerana kita disanjung, dipuji, dinobat sebagai model negara contoh, dan kita diperhati dari jauh.
Tidak hairanlah Tun Dr. Mahathir khuatir dengan tahap perkembangan kemajuan negara hari ini. Tidak pelik juga strategi Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah mengenepikan dahulu pembinaan pencakar langit berstatus ‘super’ dan jambatan indah yang canggih. Tetapi pelik lagi hairan apabila masih ada rakyat Malaysia yang tidak mahu melakukan anjakan paradigma, beralih dari mentaliti takuk lama ke takuk pemikiran yang lebih maju, dengan mengekalkan budaya dan nilai-nilai ketimuran (kerana ada yang berfikiran maju tetapi hilang nilai murninya, dan ada yang masih mengekalkan sikap budaya timur tetapi tidak mahu beralih kepada kemajuan).
Maka, siapa yang bersalah di dalam hal ini? Siapa pula yang bertanggungjawab? Dan siapa yang menerima kesannya? Atau apa…?
p/s – Esok saya akan membicarakan beberapa isu remeh yang serius dalam pentadbiran negara untuk kita bincangkan. Anda ada isu? Nyatakan kepada saya.