Mungkinkah PAS dan UMNO di bawah satu naung?

Bagi saya (selaku pengundi berdaftar...)
PAS adalah sebuah parti yang suci kerana ia menitikberatkan agama dan Islam menjadi panduan di dalam membuat sebarang keputusan di dalam parti mereka. Tidak seharusnya orang Melayu yang semestinya beragama Islam, mempertikaikan agama Islam itu sendiri. Namun dek kerana sebilangan ahli PAS yang tidak memahami prinsip perjuangan mereka, maka berlakulah insiden-insiden yang mencemarkan kesucian Islam seperti berdemonstrasi dan mengeluarkan fatwa-fatwa yang mengelirukan seperti 'undi syurga' dan pengkafiran sesama Islam. PAS juga harus mengelak dari mempolitikkan agama. Cukuplah sekadar agama dijadikan panduan di dalam berpolitik.
UMNO pula adalah sebuah parti yang sentiasa menegakkan ketuanan Melayu. Namun acapkali ketuanan itu disalahertikan oleh kaum lain sehingga menyangka kedudukan mereka akan tergugat dengan istilah ketuanan tersebut. Dan kadangkala ada juga ahli yang tersadung langkah sehinggakan UMNO lari dari prinsip asal untuk memperjuangkan hak keistimewaan Melayu. Ironinya, UMNO tidaklah sefanatik PAS dalam hal agama, tetapi masih lagi berpegang teguh terhadap ajaran Islam dan meneyerahkan kepada alim ulama' dalam satu-satu perkara yang begitu serius jika ia berkaitan agama. Oleh kerana UMNO lebih berfikiran terbuka, maka sudah tentu ada kepincangan di dalam isu agama.
Penyelesaiannya?
Tidaklah sesukar mana jalan penyelesaian bagi isu ini. Di dalam PAS mengandungi ramai ahli agama. Di dalam UMNO mempunyai ramai pemimpin bijaksana. Yang menjadi masalah adalah kaedah PAS menyebarkan ideologinya tidak kena dengan pentas politik.
Agama Islam seharusnya difahami dan diteliti dengan baik, bukan sekadar menerangkan permukaan airnya sahaja. Untuk memahami Islam, seseorang itu harus dibimbing oleh seorang lagi ahli agama yang lebih berilmu.
Jadi, sepatutnya PAS menerapkan Islam dari akar umbi, iaitu dari peringkat bawahan dan anak-anak lagi. Pergilah ke masjid-masjid, surau-surau, tempat-tempat ibadah Islam dan tempat-tempat ilmu yang ada untuk menyebarkan agama Allah. Terangkanlah dengan sebaik mungkin kepada semua orang Melayu dan yang beragama Islam akan perintah Allah. Terangkanlah kepada mereka apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan mengikut sunnah Nabi. Tapi janganlah bercerita perihal politik dan hasut-menghasut umat Islam agar membenci antara satu sama lain.
Maka bila orang-orang ini, tidak kira dari parti mana sekalipun, apabila mereka mendengar, memahami, dan menerapkan nilai-nilai Islam di dalam kehidupan seharian mereka, kerana mereka sudah mulai sebati, nescaya Islam itu akan mekar dengan sendirinya di dalam mana-mana parti yang ada orang Melayu.
Jika Islam itu disebarkan kepada anak-anak pula, nescaya bila mereka besar, pasti mereka, walau menjadi ahli UMNO sekalipun, akan bertindak mengikut sunnah dan al-Quran. Pasti mudah untuk mereka menerima apa jua hukum Allah yang hendak dilaksanakan kelak.
Tetapi harus diingat, terapkan anak-anak dengan ilmu agama! Bukan dengan ilmu politik agama atau duniawi.
Perumpamaannya seperti kita menjaga sebuah pokok. Jika hendak ditabur baja, kita bukan tabur di pucuknya. Tetapi kita tabur baja tersebut di akarnya. Dan bila akar menyerap baja tersebut, maka akan segar dan membesarlah pokok tadi. Bunga yang dikembang juga cantik.
Andai ada antara pemimpin PAS yang masih ingin berpolitik, silakan. Tapi tubuhkanlah sebuah parti baru itu dan bertindak selaku ahli politik -- ahli politik yang menjadikan Islam sebagai panduan. Bagi UMNO pula, perjuangkanlah bangsa Melayu dengan ikhlas. Namun perjuangan itu tidak harus lari dari sikap rendah diri dan niat yang suci.
UMNO juga perlu berbalik semula kepada asas fitrah manusia, merujuk kembali hukum Allah dan sunnah Nabi sebagai panduan. Biarlah parti lain dengan perjuangan mereka. Namun andai UMNO ingin bangkit kembali sebagai sebuah parti yang cemerlang, maka ahli-ahlinya perlu lebih tawadduk dan ikhlas dalam menjalankan tugas memperjuangkan bangsa dan agama.
Melayu tanpa agama akan sesat. Melayu tanpa politik akan hilang. Melayu tanpa agama dan politik akan musnah.
0 Pendapat:
Post a Comment
<< Home