bagidea

Satu ruang perbincangan antara rakyat Malaysia. Membicarakan tentang isu semasa, politik, mahupun kehidupan dan alam sekitar.

Friday, June 30, 2006

Majulah Sukan Untuk Negara?

Dalam negara kita berusaha bertungkus-lumus mencari formula meningkatkan pencapaian sukan negara, berjuta-juta wang ringgit dihabiskan oleh Kementerian Belia dan Sukan, MSN, KOAM, serta badan-badan lainnya bagi tujuan itu.

Nyata formula yang digunapakai mereka tidak berhasil. Pencapaian pemain tidak kira di dalam arena bola sepak, badminton, hoki, dari trek ke padang, dari litar ke gelanggang, turun naik prestasi pemain adalah menjadi jangkaan peminat sukan tempatan. Idea yang dilemparkan oleh pegawai-pegawai berkenaan selalunya idea basi yang tidak langsung nampak keefektifannya.

Tidak hairanlah apabila muncul pasukan MyTeam menentang pasukan bola sepak kebangsaan, penyokong lebih ramai memakai baju berwarna biru dari warna kuning. Walaupun kalah pasukan mentah itu, penyokongnya terus memberi dorongan dan pandangan positif terhadap MyTeam. Kemudian muncullah pula idea MyTeam untuk pasukan hoki. Alamat, muncullah MyTeam untuk semua jenis sukan kelak.

Dengan melihat senario sebegitu, apa sebenarnya yang diperlukan oleh badan-badan sukan negara hari ini? Adakah mereka juga perlu turun padang mencari di segenap pelusuk negara, dari bandar ke desa, masuk ke kampung-kampung dan felda, semata-mata demi mencari sebutir mutiara di dasar lautan untuk digilap menjadi mutiara perhiasan yang berkilauan? Atau adakah cukup dengan hanya membuka peluang kepada individu yang pada pandangan mata mereka berpotensi serta mempunyai rupa paras yang elok, sebagaimana yang diperkatakan oleh jurulatih skuad muda kebangsaan terhadap pemain kembar yang ada di dalam pasukannya?

Pendapat saya, rakyat Malaysia masih keliru antara potensi dan refleksi. Potensi adalah dalam bentuk abstrak, yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar. Manakala refleksi adalah luaran yang sentiasa mengaburi mata orang yang melihatnya. Tambahan, kebanyakan pemain sekarang dibanjiri wang ringgit dengan habuan insentif serta gaji yang tidak sepadan dengan prestasi mereka yang semakin merosot.

Sebenarnya jalan keluar bagi kemelut yang melanda amatlah mudah. Namun mungkin kerana tidak terfikir oleh mereka sebelum ini, atau sengaja mahu tunjuk pandai, maka idea-diea mereka dicampak masuk kononnya telah dibincang dan dimesyuaratkan sebelum itu. Nah, setelah bertahun-tahun selepas Mokhtar Dahari, Nurulhuda Abdullah, dan pemain-pemain sukan lain, selepas jutaan ringgit dihabiskan, Malaysia masih lagi terkontang-kanting di dalam kancah sukan.

Andai dikecam mereka melenting. Andai dijentik, ada yang marah. Andai dicuit, mereka melatah. Bila didedahkan kelemahan, mereka menafikan dan menuding jari kepada mana-mana pihak untuk dipersalahkan.

Jalan keluarnya hanya satu. Jika tak dapat masuk ke setiap pelusuk tanahair, bina saja sekolah-sekolah sukan seperti Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) di setiap negeri. Jadikan pengurusannya seperti SSBJ, kurikulumnya diubahsuai mengikut modul sukan, tetapi syarat kemasukannya tidak seketat SSBJ. Ini kerana SSBJ adalah satu-satunya sekolah sukan, jadi mereka terpaksa memilih yang terbaik dari segi permainan dan akademik. Jadi andaikata wujud sekolah sukan negeri, peluang memasukinya juga lebih luas.

Buat saja 20 buah kelas, yang mana setiap satunya mengikut sukan tertentu. Sebagai contoh, satu kelas penuh dengan pelatih-pelatih badminton. Satu lagi penuh dengan pelatih bolasepak. Kira saja jenis-jenis sukan yang kritikal, wujudkan sebuah kelas untuk setiap mereka. Dan kalau itu dikatakan melibatkan kos yang tinggi, agihkan saja setiap jenis sukan kepada negeri-negeri. Negeri Johor akan mewujudkan sekolah bolasepak dan hoki, negeri Pahang sekolah angkat berat dan lumba lari, negeri Perak menguruskan sukan memanah dan menembak, dan begitu juga negeri-negeri lain mendapat paling tidak dua jenis sukan setiap negeri.

Tempoh belajar seperti biasa. Jika sekolah rendah, mengikut darjah manakala sekolah menengah mengikut tingkatan. Di setiap darjah atau tingkatan, diajar pula kemahiran-kemahiran dari yang asas kepada teknik-teknik yang ‘rahsia’ atau ‘berbisa’. Di luar negara, kanak-kanak dilatih seawal usia lima tahun untuk sesuatu jenis sukan. Kerana itu minat dan hidup mereka hanya untuk sukan tersebut. Bukan kerana duit, bukan kerana kemewahan, tetapi kerana mereka dibesarkan dengan suasana begitu.

Sekiranya ‘mereka-mereka’ yang di atas sana menyatakan bahawa ini melibatkan kos tinggi, cuba kira berapa bilion telah mereka habiskan sejak bertahun-tahun lalu dalam merealisasikan idea ‘bernas’ mereka. Tetapi jika dibina sekolah-sekolah sukan ini, bangunan sekolah akan tetap tersergam dan wujud walau sepuluh tahun sekalipun. Dan andai masih mereka katakan ia tidak praktikal, maka ubahsuai sahaja sekolah-sekolah sedia ada dan tambah kemudahan-kemudahan sukan bersesuaian dengan jenis sukan yang dipertanggunggjawabkan ke atas sekolah tersebut. Kita juga mempunyai kolej-kolej komuniti yang semakin bertambah bilangannya. Ceduk saja konsep komuniti itu, dan bina kolej sukan komuniti untuk digunakan oleh penduduk setempat berekreasi dan bersukan.

Dalam pada itu, minda ibu bapa juga harus diberi perhatian. Ada di kalangan ibubapa yang khuatir anak-anak tidak akan dapat mencari makan melalui sukan (tetapi kalau anak menjadi penyanyi atau pelakon, boleh saja!). Jadi mereka tidak mahu anak-anak menghabiskan masa keluar petang bermain sukan di padang, atau balik lewat malam berlatih badminton (boleh pula kalau berkaraoke sepanjang hari dan masuk bertanding sampai lewat malam!). Apa lagi jika berjauhan selama dua tiga bulan jika anak-anak dimasukkan ke akademi sukan, rindu dan tiada manfaat kata mereka (namun dibenarkan kalau masuk Akademi Fantasia beradu nasib dan suara!).

Banyak yang perlu dilakukan oleh KBS, KOAM, MSN, dan lain-lainnya. Tetapi mudah dan praktikal caranya. Apa tunggu lagi?

Saturday, June 17, 2006

Graduan berlambak di pasaran

Baiklah, kali ni kita akan membincangkan isu graduan yang semakin berlambak-lambak di pasaran. Saya pasti ramai yang sedar akan masalah graduan ini. Mana tidaknya, sampai naik pening Kementerian Pelajaran dan kementerian berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian bagi graduan yang beribu-ribu.

Sebenarnya, bagi saya perkara ini amat remeh dan jalan penyelesaiannya tidaklah susah sampai bertahun-tahun untuk diambil tindakan. Apa yang perlu dibuat oleh kementerian ialah mengkaji dahulu pihak yang terlibat.

Pihak yang pertama ialah graduan yang menganggur yang boleh dibahagi kepada tiga kumpulan kecil:
1) graduan bidang pendidikan
2) graduan bukan bidang pendidikan tetapi memohon KPLI dan bidang perguruan sebagai opsyen terakhir
3) lain-lain graduan yang mempunyai bidang bukan pendidikan

* Saya menekankan pendidikan kerana rata-rata mereka yang menganggur ini sanggup memilih kerjaya pendidikan sebagai pilihan terakhir mereka mendapatkan kerja.

Pihak kedua pula ialah penjawat awam yang memegang jawatan utama dalam perkhidmatan (yang pastinya sudah lama bekerja dan mahu menikmati pencen tetapi “sayangkan” kerja mereka), serta pegawai yang mempunyai seniority dalam jawatan.

Yang ketiga ialah pihak kementerian itu sendiri yang sentiasa mencari formula penyelesaian dan mengetengahkan idea-idea yang menelan kos tinggi dan memakan masa untuk dijalankan. Kementerian ini juga sering menetapkan beberapa syarat yang baru untuk mempastikan kualiti graduan yang memohon kerja adalah bersesuaian dengan kehendak majikan.

Kita kaji satu persatu.

Graduan – yang tidak dapat dipastikan berapa jumlah sebenar yang menganggur, tapi dikatakan mencecah berbelas ribu orang. Mereka ini sentiasa keluar dari universiti, setiap tahun, setiap semester, dalam kuantiti yang banyak. Bagi graduan yang mengikat perjanjian dengan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi, kerja bukanlah satu masalah kepada mereka. Tetapi ada juga graduan bidang pendidikan yang sukar untuk mendapat penempatan waima di pejabat pendidikan sekali pun.

Kelompok graduan yang kedua pula ialah graduan yang semasa zaman pengajiannya memilih bidang yang mereka sukai atau ‘dapat secara tidak sengaja’ dan menghabiskannya walau dengan apa cara yang ada. Kemudian apabila keluar tidak mendapat sebarang pekerjaan kerana apa yang mereka ada tidak bersesuaian dengan pasaran pekerjaan sekarang. Jadi graduan kelompok ini sanggup menghabiskan satu hingga dua tahun sekali lagi untuk mendapatkan kelulusan dalam bidang perguruan pula. KPLI menjadi buruan mereka yang di dalam kelompok ini.

Dan kelompok ketiga pula ialah graduan yang masih berpegang kepada kelulusan yang mereka ada, dan sentiasa mencari-cari peluang pekerjaan dengan menghantar resume mereka kepada mana-mana yang berkenaan. Ada juga antara mereka yang mencari pekerjaan sementara bagi menampung kehidupan.

Tidak hairan juga andai ada antara graduan ini yang sekadar menanti bulan jatuh ke riba dengan duduk sahaja di rumah, tidak berbuat apa-apa, dan menunggu sehingga kerajaan berbuat sesuatu untuk mereka.

Yang seronoknya mengenai isu ini ialah jumlah kekosongan jawatan yang ada adalah sedikit berbanding dengan jumlah graduan yang dikeluarkan oleh IPT. Jadi berlakulah lebihan graduan yang menyebabkan ketidakseimbangan pasaran pekerjaan.

Yang menambah seronoknya lagi ialah mereka yang menjawat jawatan dan pekerjaan sekarang tidak mahu mengosongkan jawatan mereka. Cuba fakir relevannya apabila mereka yang sudah lama menjawat jawatan dan hamper tiba usia bersara, ingin menjawat jawatan tersebut lagi dengan melanjutkan usia persaraan! Dari 56 tahun jadi 57, kemudian disambung lagi dengan kontrak. Alasannya kerana tiada kepakaran lain untuk mengisi jawatan itu kelak apabila mereka bersara.

Ada juga penjawat awam yang setelah lama berada di sesuatu tempat bekerja, enggan menerima pertukaran ke tempat lain yang memerlukan mereka dengan alas an sudah berumahtangga, mempunyai anak isteri, ibu / bapa sakit, dan pelbagai lagi 1001 macam alas an. Jadi merekalah kelompok kedua yang saya maksudkan tadi.

Pihak terakhir ialah kementerian berkaitan yang bertanggungjawab dalam isu pekerjaan seperti SPA, JPA, KPM, KPTM, dan banyak lagi kementerian lain. Mereka hadir dengan 10101 alasan yang akhirnya menyalahkan graduan kerana graduan dikatakan tiada kualiti dan tidak mempunyai kriteria yang diinginkan oleh majikan.

Mereka juga mewujudkan banyak kursus dan latihan kepada graduan menganggur agar graduan mempunyai tambahnilai dalam resume mereka. Maka berebut-rebutlah graduan mengganggur menyertai latihan dengan tujuan upskilling dan reskilling diri mereka untuk mendapatkan kerja. Tidak kurang yang melatih semula graduan di dalam bidang pendidikan walaupun asalnya graduan tiada cita-cita dan minat untuk menjadi guru (tanpa mengira keikhlasan mereka untuk menjadi pendidik).

Saya tidak mahu menyalahkan majikan kerana itu adalah hak dan keperluan mereka. Sekiranya mereka mahu pekerja yang fasih berbahasa Mandarin, itu adalah keperluan mereka mungkin kerana jawatan tersebut memerlukan pekerja berurusan dengan pelanggan Cina. Jika mereka mahu pekerja yang berpengalaman bekerja dalam pasukan, itu hak mereka kerana mungkin tempat pekerjaan itu memerlukan seseorang yang sedemikian untuk terus maju dan berdaya saing. Kesimpulannya, itu hak dan keperluan mereka.

Kita sudah lihat latarbelakang ketiga-tiga golongan yang terlibat dalam isu graduan mengganggur ini. Jadi bagaimana penyelesaiannya?

Dalam isu ini sebenarnya ketiga-tiga pihak bertanggungjawab dan perlu memainkan peranan mereka bagi memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

Graduan perlu menambah nilai diri mereka sejak dari mula mereka memasuki alam pengajian di IPT lagi. Banyak peluang yang terbuka buat mereka seperti kursus anjuran Bahagian Hal Ehwal Mahasiswa, subjek-subjek major dan minor, kursus pengajian teras dan elektif, kelab dan persatuan, serta aktiviti-aktiviti sampingan yang lain. Mereka perlu berebut-rebut mencari peluang untuk menambah pengalaman mereka.

Di IPT juga, saya pasti graduan mempunyai banyak masa terluang. Ambillah kelas-kelas bahasa asing tambahan sehingga mahir bertutur dan menulis di dalam bahasa yang dipelajari. Janganlah membuang masa dengan berdating, melepak, dan tidur sahaja.

Bagi graduan yang sudah lulus dari IPT, bidang pendidikan bukanlah satu-satunya jalan keluar dari pengangguran. Anda boleh juga mewarisi pekerjaan keluarga seperti pertanian, perikanan, perindustrian, dan banyak lagi. Gunakanlah kepakaran dan kelulusan anda untuk memodenkan kaedah lama pekerjaan tersebut. Ubahsuai, inovasi, cipta yang baru.

Dalam mencari pekerjaan juga, anda perlu membuktikan bahawa anda mempunyai keazaman dan keinginan untuk bekerja. Jangan berputus asa sekiranya majikan enggan mengambil anda bekerja. Sekiranya sebelum ini majikan menolak permohonan anda, cuba kaji mengapa ia ditolak. Kemudian perbaiki dan pergi sekali lagi kepada mereka untuk memohon. Pasti mereka akan ‘terpikat’ dengan semangat anda dan kemudian mengambil anda bekerja.

Ketika menganggur juga anda boleh mempelajari bahasa asing untuk mencantikkan resume anda. Di luar juga banyak kursus-kursus belia dan pengurusan yang menawarkan pengalaman bekerja dalam kumpulan yang tidak ternilai. Cari, minta, dan ceburi.

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Rezeki ada di mana-mana. Ketahuilah dan percayalah, ada hikmah di sebalik sesuatu itu.

Seterusanya ialah penjawat awam yang telah lama bekerja, baik yang sepatutnya telah bersara, dan mereka yang sudah berkeluarga. Berilah peluang kepada graduan-graduan pula untuk menimba pengalaman di dalam alam pekerjaan. Sebenarnya ada cara bagaimana hendak menyalurkan kepakaran mereka ini. Itu akan dikupas apabila saya membicarakan tanggungjawab kemeterian sebentar lagi.

Untuk yang telah berkeluarga, anda adalah kaitangan kerajaan yang tertakluk di bawah frasa “Saya yang menurut perintah”. Baik telah berumahtangga, berkeluarga, beribubapa, arahan yang diberikan oleh kerajaan tidfak sepatutnya diingkari dengan alasan. Sekiranya anda enggan bertukar, anda menyebabkan negara kehilangan kepakaran yang diperlukan yang ada pada anda. Di sini dapat dilihat bahawa anda tidak ikhlas dalam melaksanakan tugas untuk negara. Bayangkan apa kesannya apabila pandangan negatif sebegini tercata dalam buku perkhidmatan anda. Tidakkah ia akan menjejaskan peluang kenaikan pangkat anda kemudian hari? Mungkin banyak lagi kesannya yang tersirat yang tidak kita ketahui.

Kementerian pula bertanggungjawab untuk memberikan graduan jawatan yang sepatutnya. Namun, apa yang berlaku hari ini ialah, kementerian telah menyekat peluang pekerjaan dengan melanjutkan had usia persaraan. Peluang juga tertutup apabila pesara diberikan kontrak perkhidmatan untuk memegang jawatan setelah mereka mencapai had bersara wajib.

Mengapa tidak, mereka yang sudah mencapai usia persaraan ini, ataupun mereka yang berusia 50 tahun ke atas, diberikan jawatan sebagai penasihat atau pembimbing kepada penjawat jawatan yang mereka kosongkan tadi. Jadi kepakaran dan pengalaman pesara tidak disia-siakan. Penjawat jawatan yang baru pula boleh menimba ilmu dari mereka. Apabila ada kekosongan jawatan di bahagian jawatan tertinggi, mereka yang telah lama bekerja telah dinaikkan pangkat untuk mengisi keksongan tersebut. Kemudian berlaku pula kekosongan jawatn di bahagian-bahagiab lain, kan? Jadi graduan yang tiada pekerjaan tadi boleh mengisi keksongan di bawah pula.

Ada juga jawatan yang terlepas pandang oleh kementerian. Contohnya, bidang tugas di jabatan-jabatan yang sepatutnya ada tetapi tidak diwujudkan. Apa yang akan terjadi apabila seorang pensyarah Bahasa Inggeris, kena melakukan kerja berkaitan bidang ekonomi? Bagaimana pula mereka yang tiada kemahiran di dalam pembinaan laman web, ditugaskan untuk merekacipta laman web buat jabatan?

Jadi kenapa tidak kementerian yang mempunyai kuasa untuk mewujudkan pekerjaan, wujudkan sahaja jawatan-jawatan sebegitu di jabatan. Wujudkanlah jawatan perekacipta laman web, penganalisis ekonomi, jururunding, jurukomputer, dan lain-lain di dalam perjawatan di setiap tempat bekerja. Jadi kerja yang berkaitan diberikan pada orang yang sepatutnya yang mempunyai kemahiran di dalam kerja tersebut, bukannya diberi kerana orang itu yang terlintas di dalam fikiran Ketua Jabatan.

Jadi secara kira-kiranya, andailah ada 1000 jabatan atau tempat kerja di dalam jabatan kerajaan, dan diwujudkan sepuluh jawatan baru, maka sudah ada 10,000 peluang pekerjaan!

Apa yang susah dalam menyelesaikan isu ini? Petik jari!

Saya akan menutarakan isu sukan negara pula dalam blog akan datang. Jadi mari kita sama-sama bagi idea.

Thursday, June 15, 2006

Kenapa Tun kecewa?

Mentadbir negara bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi apabila penduduknya terdiri dari rakyat yang berbilang kaum dan agama. Tambahan pula, terdapat rakyat yang hanya bergantung kepada bantuan kerajaan bagi memenuhi kehendak dan keperluan mereka. Ada juga yang hanya menjadi pengkritik dan penonton, sedang yang lain sibuk berlakon di atas pentas.

Kedengaran biasa di telinga anda?

Tapi apa yang boleh kita lakukan sebagai rakyat yang prihatin bagi membantu kerajaan menyelesaikan masalah pentadbiran negara? Apa lagi jika kita adalah kakitangan kerajaan yang tertakluk kepada frasa “Saya yang menurut perintah” dan kuasa akta-akta keselamatan yang bertujuan untuk melindungi kerajaan dari sebarang bentuk cemuhan dan kritikan terbuka?

Petang kelmarin, saya terfikir sesuatu yang tak terfikir dek saya sebelum ini. Di sini, di dalam blog ini, saya boleh bersuara. Di sini saya dapat menulis bebas akan apa yang saya fikirkan sebelum ini mengenai kerajaan. Di sini saya hanyalah seorang rakyat biasa yang menggunakan kemajuan teknologi terkini untuk menyampaikan idea dan cadangan.

Saya juga dapat membincangkan perkara-perkara yang selama ini hanya dibualkan di kantin sewaktu sarapan pagi. Ada juga topik-topik lain yang diperkatakan di dalam chat room dan Yahoo! Messenger yang mungkin tiada jalan penyelesaian sekiranya terus diperbincangkan di sana, boleh diketengahkan di sini, di dalam blog ini, bagi mendapatkan lebih banyak pendapat dan maklumbalas umum.

Tetapi ini pasti akan menimbulkan rasa kurang senang hati sesetengah individu baik secara langsung atau tidak langsung, secara sedar atau tidak, kerana saya bakal berbicara mengikut landas pemikiran saya sebagai seorang yang kritis. Justeru, saya akan memegang watak sebagai seorang pengkritik. Bukan penonton, bukan juga pelakon.

Jadi apa yang sang pengkritik akan perkatakan bermula hari ini?

Baru-baru ini mungkin anda semua mendengar kritikan pedas Tun Dr. Mahathir selaku bekas Perdana Menteri terhadap pentadbiran kerajaan kini. Nah, ramai yang melenting kerana berpendapat adalah tidak wajar bagi beliau mengkhianati Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan teguran sebegitu. Namun tidak pula melatah mantan Perdana Menteri kita dan Timbalannya terhadap teguran itu. Tidak juga tergesa-gesa kedua-duanya pulang dari luar negara bagi menghadapi dan menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh Tun.

Tetapi Tun Dr. Mahathir bukanlah seorang pengkhianat. Beliau juga bukan seorang penentang kepada UMNO. Cuma Tun Dr. Mahathir berfikiran rasional sebagai seorang lelaki yang telah menggagaskan Wawasan 2020 dan menginginkan wawasan itu dicapai menjelang tahun 2020 nanti. Beliau hanya ingin melihat kemajuan demi kemajuan dicapai oleh negara Malaysia bersesuaian dengan jangkamasa yang semakin singkat sebelum 2020 menjelma. Bayangkan dalam masa kurang 14 tahun, apa yang boleh negara kita lakukan bagi mencapai kemajuan tersebut?

Oopppsss… terlupa saya. Bagaimana rupanya tahun 2020 yang diinginkan oleh Tun Dr. Mahathir? Apa agaknya yang patut dimiliki dan dicapai oleh negara Malaysia seandainya tiba tahun 2020 itu nanti, untuk dikatakan bahawa Malaysia telahpun ‘berjaya’ mencapai wawasan yang dicanang sejak lebih 16 tahun yang lalu?

Adakah cukup dengan hanya adanya Koridor Raya Multimedia di Cyberjaya? Adakah sesuai dan relevan Menara Berkembar Petronas pada tahun 2020 kelak untuk dibanggakan sebagai satu mercu tanda pencapaian rakyat negara kita, untuk menunjukkan bahawa kita telah maju kerana berjaya membina sebuah bangunan yang futuristik? Adakah dengan hanya pembaikpulihan struktur sediada, ditambah dengan beberapa projek pembangunan sehingga lima tahun akan datang, cukup sebagai persediaan negara bagi menghadapi tahun 2020?

Tun Dr. Mahathir hanya meletakkan batu asasnya sahaja sepanjang lebih 20 tahun pentadbiran beliau ke atas negara Malaysia. Koridor Raya hanyalah asas. Menara Berkembar Petronas juga asas. Struktur pembangunan sediada juga merupakan asas. Jadi ke manakah perginya tiang, dinding, tingkap, serta bumbung negara ini?

Jawapannya terletak pada 14 tahun ini. 14 tahun jangkamasa sebelum negara kita menempuh tahun keramat, 2020. Bayangkan semenjak negara kita merdeka pada tahun 1957 sehingga kini (48 tahun kemerdekaan), ini adalah pencapaian negara kita. Setakat ini sahaja yang mampu kita capai semenjak 48 tahun yang lalu.

Mungkin anda akan kata, dalam 48 tahun ini negara kita tidak mempunyai teknologi dan kemahiran yang diperlukan untuk maju. 48 tahun ini kita tiada kemudahan infrastruktur yang boleh membantu kita mencapai kemajuan. Kerana itulah pencapaian kita sehingga kini hanya setakat itu sahaja.

Tetapi anda harus memikirkan beberapa faktor ini juga. Dalam 48 tahun ini negara kita didokongi oleh mereka-mereka yang telah memerdekakan Malaysia. 48 tahun ini juga dipenuhi dengan orang-orang yang bersemangat tinggi untuk membebaskan Malaysia dari belenggu penjajahan. Dalam 48 tahun juga Malaysia berjaya berdikari mentadbir negara sendiri, tidak seperti anggapan British yang suatu masa dulu begitu sinis terhadap cita-cita pemimpin kita?

Adakah mereka juga yang akan berada di dalam Malaysia untuk membawa negara mencapai Wawasan 2020? Adakah mereka yang akan bertungkus-lumus dalam 14 tahun akan datang bagi mempastikan negara kita mencapai wawasan yang ditetapkan? Apa pula peranan kita sebagai generasi yang entah ke berapa kali ini dalam usaha mencapai wawasan tersebut?

Tidak mungkin generasi yang memerdekakan saya dan anda akan berkesempatan menikmati Wawasan 2020. Mustahil juga mereka itu dapat menggagahi badan menongkah usia bagi membimbing generasi kini ke arah kemajuan. Mustahil juga apabila anda katakan bahawa kitalah yang akan mendokong cita-cita untuk mencapai kemajuan menjelang tahun 2020 itu kelak. Kerana apa?

Kerana minda generasi kita yang semakin kucar-kacir dan bercelaru dek arus kemodenan yang tidak menyeluruh. Ditokok pula dengan budaya Barat yang menyaluti minda anak-anak muda kita di bandar dan kota raya. Apa lagi dengan sikap acuh tak acuh sesetengah kelompok masyarakat yang tidak memahami dan tidak mahu memahami keperluan Wawasan 2020.

Benar. 48 tahun lalu negara kita dipenuhi dengan individu yang bersemangat pejuang. Dan semangat pejuang itulah yang berjaya membawa Malaysia ke tahap kita hari ini. Dengan semangat pejuang itu juga, mereka menentang penjajah dan menghapuskan komunis dari tanah air Malaya. Itu merupakan tugas mereka sejak 48 tahun yang lalu. Tambahan pula negara kita baru memperolehi kemajuan bagi memulakan pembangunan sejak 48 tahun lalu. Kerana itu saya katakan, apa yang telah dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir sebenarnya hanyalah asas sejak lebih 20 tahun pentadbiran beliau.

Kerana itu juga saya katakan 14 tahun adalah suatu tempoh yang amat singkat. Sukar untuk kita mencapai Wawasan 2020 jika dilihat akan halangan yang kita sedang dan bakal hadapi. Bukan penjajah, bukan komunis, tetapi sikap rakyat Malaysia yang semakin terhakis nilai-nilai murninya. Sikap yang menyukarkan pembangunan kerana wang berbilion dihabiskan untuk perkara-perkara remeh tapi serius.

Apa tidaknya? Kerajaan terpaksa menghabiskan berjuta-juta ringgit semata-mata untuk membudayakan budi bahasa di kalangan rakyat. Berbilion ringgit pula dicurahkan untuk pembinaan bangunan yang bukannya bertaraf ‘super’ seperti KLCC atau MSC, tetapi dihabiskan oleh individu-individu yang sudah sememangnya kaya melalui tender dan kontrak – dan masih tidak siap! Ada pula negeri-negeri yang terpaksa menghabiskan jutaan ringgit bagi menangani masalah sungai dan hutan, sedangkan duit itu boleh disalurkan kepada pembangunan negeri masing-masing.

Ada pula rakyat yang membebankan kerajaan dengan memohon bantuan Bumiputera, bantuan subsidi, bantuan pinjaman, bantuan infrastruktur, bantuan itu, bantuan ini… Hinggakan hendak membina jambatan untuk kegunaan kampung sendiri pun perlu masuk TV3 terlebih dahulu, supaya dapat mereka salahkan kerajaan kerana tidak menghulurkan bantuan. (Sedangkan dahulu sebelum merdeka, orang kampung boleh membina jambatan melalui permuafakatan dan gotong-royong, tanpa perlu kerajaan British datang menjengah).

Tongkat yang dahulunya ingin dibuang… Maka betullah masih ada semangat juang rakyat Malaysia kerana ‘patah sayap bertongkat paruh’. Hilang bantuan ini boleh minta bantuan itu. Hilang keistimewaan ini, digunakan keistimewaan lain pula. Nah, bila masanya kerajaan yang mentadbir negara Malaysia ini boleh menggunakan sumber kekayaan yang ada untuk mencapai Wawasan 2020 itu?

Kerana itulah Tun Dr. Mahathir tampil bersuara setelah lama memerhatikan pentadbiran kerajaan bertungkus-lumus mengawal kewangan sediada. Tun Dr. Mahathir sedar bahawa kerajaan tidak akan berjaya mencapai Wawasan 2020 yang dicetuskan beliau sekiranya hal ini berterusan, sikap rakyat sebegini berpanjangan, dan permasalahan remeh yang serius ini berlanjutan.

Yang ingin ditekankan oleh beliau ialah, jangan biarkan kepesatan pembangunan dan pencapaian kemajuan bergerak perlahan kerana tempoh 14 tahun adalah tempoh yang tidak lama. Jangan biarkan Wawasan 2020 dijadikan bahan ketawa negara luar kerana negara kita diperhatikan oleh seluruh masyarakat dunia kini. Jangan juga pada tahun 2020 itu nanti, masih ada yang ketinggalan dari arus kemodenan dan kemajuan negara, serta tinggal di dalam rumah usang dan seisi rumahnya tidak mengenali apa itu internet dan teknologi maklumat.

Kegusaran bekas pemimpin kita itu ada asasnya. Sikap dan mentaliti rakyat kita masih lagi di tahap negara ketiga. Membuang sampah merata-rata, bergantung harap kepada subsidi dan bantuan, hanya pandai menuding jari, tidak kurang juga yang membaling batu sorok tangan. Kegusaran Tun adalah kerana maruah dan martabat negara kini di tangan rakyat Malaysia.

Cuba semak kembali Rancangan Malaysia Ke-9 yang dibentangkan tiga bulan lalu. Apa bentuk pembangunan yang dirancang, yang menunjukkan ia akan menjadi lambang kemajuan Wawasan 2020? Ke mana pergi sumber kewangan negara yang bernilai berbilion ringgit disalurkan semata-mata untuk menambahbaik dan melancarkan sistem pengurusan kerajaan? Berapa pula kos yang diunjurkan oleh kerajaan bagi membantu rakyat termiskin keluar dari belenggu keperitan hidup supaya tercapai sasaran sifar kemiskinan? Berapa pula jumlah kewangan terpaksa dihabiskan bagi memulihara sungai-sungai dan hutan belantara di negara ini?

Jadi bagaimana kerajaan hendak melabur terhadap kemajuan menuju Wawasan 2020 sedangkan kerajaan terpaksa berhadapan dengan masalah-masalah remeh yang sebenarnya menjadi asas kepada keteguhan peribadi rakyat Malaysia. Mana tidaknya, bayangkan jikalaupun Wawasan 2020 dapat dicapai dengan sumber kewangan negara dihabiskan semata-mata untuknya, negara bakal dipenuhi dengan rakyat ‘sampah-sarap’ yang telah terhapus nilai-nilai murni. Sumber semulajadi juga tergugat kerana wang negara telah dihabiskan untuk pembangunan. Tidakkah dilema ini cukup menimbulkan kekusutan di dalam kepala Dato’ Seri Abdullah?

Saya percaya Perdana Menteri kita sedia arif bahawa 14 tahun bukanlah jangkamasa yang cukup bagi mempersiapkan diri menghadapi wawasan negara. Namun beliau perlu mempastikan rakyat terjaga dan nasib mereka terbela. Beliau perlu mengenepikan kemajuan buat sementara waktu, bagi memperkukuhkan mentaliti rakyat Malaysia supaya diangkat ke tahap dunia kedua.

Jadi, adakah 14 tahun akan datang kita boleh melihat kereta terbang seperti yang terpapar dalam pertandingan lukisan kanak-kanak 15 tahun lalu ketika Wawasan 2020 mula dilancarkan? Adakah lagi bangunan yang lebih futuristik dari Menara Petronas akan berdiri di tanah Malaysia 14 tahun nanti? Adakah akan tercapai Wawasan 2020 dengan mentaliti, sikap, dan kemajuan yang kita pegang pada hari ini?
Segalanya terletak di tangan rakyat Malaysia. Maruah, darjat, martabat – segalanya. Kerana kita disanjung, dipuji, dinobat sebagai model negara contoh, dan kita diperhati dari jauh.

Tidak hairanlah Tun Dr. Mahathir khuatir dengan tahap perkembangan kemajuan negara hari ini. Tidak pelik juga strategi Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah mengenepikan dahulu pembinaan pencakar langit berstatus ‘super’ dan jambatan indah yang canggih. Tetapi pelik lagi hairan apabila masih ada rakyat Malaysia yang tidak mahu melakukan anjakan paradigma, beralih dari mentaliti takuk lama ke takuk pemikiran yang lebih maju, dengan mengekalkan budaya dan nilai-nilai ketimuran (kerana ada yang berfikiran maju tetapi hilang nilai murninya, dan ada yang masih mengekalkan sikap budaya timur tetapi tidak mahu beralih kepada kemajuan).

Maka, siapa yang bersalah di dalam hal ini? Siapa pula yang bertanggungjawab? Dan siapa yang menerima kesannya? Atau apa…?

p/s – Esok saya akan membicarakan beberapa isu remeh yang serius dalam pentadbiran negara untuk kita bincangkan. Anda ada isu? Nyatakan kepada saya.

Bermula satu perbincangan...

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda - pembaca, penulis, pengkritik, pemerhati, pendengar, peminat, penaung, pemimpin, pentadbbir, penjawat kerajaan, pengurus, pengarah, penasihat, pencemuh, dan segala macam 'pe' yang wujud di dalam kosa kata Melayu.

Hari ini bakal bermula satu perbincangan yang manis. Perbincangan yang berkisarkan pentadbiran negara kita, negara Malaysia. Tujuan ruangan ini dibuka bukanlah untuk mencemuh atau menjatuhkan kerajaan hari ini, tetapi sekadar sebagai tempat bual siber antara pelayar internet.

"bagidea" sama seperti kedai kopi dan kantin sekolah. Sama dengan kedai makan dan restoran. Sama dengan pejabat dan dalam bas. bagidea.blogspot.com adalah satu ruangan yang membolehkan kita bersembang kosong mengenai apa yang berlaku hari ini, di Malaysia yang tercinta.

Kerana saya pasti ramai yang sebenarnya layak menjadi pemimpin di luar sana tetapi tidak berpeluang masuk politik.. Sama seperti ramai yang boleh menyanyi di luar sana tetapi tidak berpeluang menyertai AF4. Jadi di sini kita boleh berpolitik, kita boleh menyanyi, kita boleh berlakon, kita boleh buat apa sahaja. Asalkan kita tidak melatah atau melenting... Asalkan kita tidak mencemuh dan menjatuhkan. Kerana kita hanya ingin mencari ruang untuk melontarkan buah fikiran kita yang yang bernas ini, supaya ia, insya-Allah satu hari nanti, mendapat perhatian orang yang berkenaan.

Jadi apa kata anda? Berminat? Mempunyai cadangan bagaimana hendak mentadbir urus sebuah negara? Apa salahnya kita berkongsi, di sini, Bagi Idea sedia menerima pendapat anda.